SIAPA SANGKA UPIH PINANG YANG SERING MENJADI PERMAINAN ANAK-ANAK KECIL DI DESA KINI DIPROSES,
DIRAWAT DAN DIOLAH MENJADI ARTIFAK SENI MENGHIASI KEDIAMAN PERANGINAN TERNAMA.
Sepetang di Yayasan Seni Berdaftar yang diusahakan oleh Toh Puan Mahani Idris Daim telah mengakrabkan penulis dengan artisan dari Brazil; Jurema Walendowsky Baker. Berpeluang mendapat pendidikan di SOAS atau School of Oriental and African Studies di United Kingdom yang tersohor dan masyhur dengan jurusan seni dan sains sosialnya, Jurema yang mendalami pengajian seni Cina dan Islam begitu sukakan Malaysia. Katanya, “It shares the same weather with Brazil but I love it here so much
Jamal.” Jurema menetap di Malaysia sudah cukup lama sehingga membolehkannya mengusahakan sayap kreatifnya dengan perniagaan seni hias.
Katanya dia sering mendapat tempahan daripada spaspa antarabangsa, rumah peranginan mewah di Langkawi dan tempat lain merata dunia oleh kerana portfolionya yang tidak asing bagi duta-duta serta diplomat-diplomat di sini.
Jurema mengklasifi kasikan hasil ciptaannya sebagai seni hias Asia kerana bahan induk yang digunakan datangnya dari rantau ini. Dia menggunakan daun pelepah pokok kelapa dan pinang kering serta apa sahaja objek flora dan fauna yang ditemuinya untuk menghasilkan objek seni. Bahan mentah yang dipilih akan melalui proses seleksi dan hanya yang baik akan melalui proses unik menggunakan lakuer untuk merawat sambil dibentuk. Hasil buatan yang kompleks tetapi memperkayakan pusaka bumi, kini memenuhi ruang hiasan acara-acara keramaian tatkala digunakan di meja makan utama sebagai mangkuk hidangan atau diberi sebagai hadiah buah tangan.
Kaedah yang digunakan Jurema dimajukan bertahun-tahun sehingga mencapai kehalusan yang diingini. Jurema menitik-beratkan pemeliharaan dan ketahanan lama sesebuah hasil seni itu. Dia menggunakan enam lapisan lakuer dan salutan warna. Jurema tangkas mentransformasikan bahan semula jadi menjadi sebuah hasil seni yang lain daripada yang lain, ia terdiri daripada pinggan sushi, mangkuk buah, bekas penyejuk wain, buluh yang ditukar menjadi pemegang lilin dan bermacam-macam lagi. Pada Mac 2003, ciptaan Jurema sampai ke istana menghiasi meja-meja bankuet ketika pertabalan Diraja Sultan Selangor yang ke-9.